Malah, bunga berkenaan turut mewarnai setiap sudut Floria 2010 seperti di zon floral alley, floral avenue, gerbang bunga, meadow, taman permainan kanak-kanak dan taman penggiat dan penanam bunga heliconia atau di zon festival.
Floria 2010 dianjurkan Perbadanan Putrajaya dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman, berkata festival itu adalah kesinambungan Floria 2007 dan 2009 yang penuh warna warni.
Beliau berkata, Floria 2010 menggambarkan kecantikan alam semula jadi yang diserikan dengan pelbagai bunga-bungaan yang unik dalam suasana taman sebenar.
Antara tarikan lain Floria 2010 ialah taman pameran reka bentuk terkini arkitek landskap dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, pavilion bunga berhawa dingin dijangka menarik perhatian pengunjung. Merangkumi laman heliconia eksotik, laman antarabangsa, laman Twilight, arca bunga, hiasan meja makan, dinding flora, sudut pereka dan pameran lukisan cat air heliconia. "Buat pertama kali, laman Twilight menggunakan kesan penataan cahaya," katanya.
Bazar Taman pula menawarkan pelbagai kelengkapan taman termasuk perabot dan tanaman hiasan yang menarik.
Tidak ketinggalan laman seni yang menjadi sudut khas kepada pencinta seni lukisan dan kraf. Penyertaan antarabangsa pula dijangka menjadi tumpuan pengunjung dengan penghasilan reka bentuk taman dan bunga-bungaan kreatif.
Pameran dibuka dari jam 9 pagi hingga 10 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9 pagi hingga 12 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).
0 comments:
Post a Comment